Selamat Tengah Malam
- Nama saya Tina. Saya ingin menceritakan pengalaman saya yang berlaku
pada tahun lepas di salah sebuah tandas di tempat meletak kereta
Kompleks Kargo Changi.
Kisahnya bermula begini... Saya bertugas di Kompleks Kargo Changi.
Saya habis bertugas sekitar jam 11 malam. Seperti biasa, suami saya
akan menjemput saya pulang dengan menunggang motosikalnya. Nak
dijadikan cerita, apabila keluar dari bangunan itu, saya rasa tidak
tahan hendak membuang air kecil. Kerana tidak boleh tahan, suami saya
membawa saya ke tandas berhampiran iaitu di tempat meletak kereta *.
Apabila selesai membuang air kecil, saya dan suami pergi ke motosikal
untuk pulang. Tiba sahaja di depan motosikal, suami saya pun menyeluk
koceknya untuk mengeluarkan kunci motosikal. Tiba-tiba suami saya
tanya sama ada saya ada simpan kunci atau tidak, sebab kunci tidak ada
di dalam kocek suami. Saya memberitahu suami kunci tidak ada pada
saya.
Suami dan saya pun cuba mencari kunci di sekeliling kawasan yang kami
lalui untuk ke tandas. Mana tahu kunci tercicir. Hampir setengah jam
saya dan suami mencari tetapi tidak terjumpa kunci motor. Saya dan
suami rasa tidak sedap kerana bulu roma kami mula meremang dan hairan
macamana kunci di dalam kocek boleh hilang. Lalu suami menyuruh saya
cuba menyeluk kocek seluar suami untuk pastikan kunci motor ada dalam
kocek, tetapi masih juga tiada di dalam kocek suami.
Suami menyuruh saya tenang lalu dia pun membaca surah-surah yang
patut. Selesai sahaja membaca, suami cuba sekali lagi menyeluk
koceknya. Hairannya kunci motosikal itu boleh berada di dalam kocek
suami. Dengan tidak membuang masa, suami menghidupkan enjin motosikal
lalu kami terus beredar dari tempat itu. Kami tidak terus pulang malah
kami berhenti di kedai kopi berhampiran untuk menenangkan hati dan
perasaan.
Semenjak kejadian itu, tidak tahan untuk ke tandas macamanapun, saya
dan suami tidak akan ke tandas itu lagi, kerana kami dapat tahu di
kawasan situ adalah tempat orang-orang India membuang abu orang mati.